Ahad, 30 Januari 2011

JEPARA KOTA UKIR

Penyu rasaksa mendarat di pantai Jepara?


Namun penyu itu hanyalah mercu tanda baru Pantai Kartini, sebuah kawasan rekreasi popular yang menghadap Laut Jawa. Bangunan berbentuk penyu itu merupakan sebuah akuarium yang mempamerkan hidupan alam samudera. Pantai Kartini bukanlah tarikan utama penulis ke Jepara. Ia sebuah kota bersejarah, unik dan indah yang terletak tidak jauh dari bandar Semarang, ibu kota provinsi Jawa Tengah.


Apa yang meruntun hati ke daerah Jepara ialah untuk melihat kerajinan penduduk termasuk kalangan wanita dalam bidang seni ukiran kayu dan pembuatan perabot kayu jati. Pintu gerbang di sempadan daerah itu terpampang “Jepara Kota Ukir” sementara pintu gerbang di jalan utama dalam pekan yang sinonim dengan perabot jati itu bertulis “Jepara Bumi Kartini, Bersatu Bersama Membangun Jepara.”


Di sebuah bulatan, tersergam patung Kartini yang memimpin budak perempuan. Kartini ialah pelopor kebangkitan wanita Indonesia. Kartini lahir di Jepara pada 21 April 1879 dan meninggal pada 1904 merupakan idola wanita Indonesia. Wanita itu diisytiharkan Pahlawan Kemerdekaan Nasional oleh presiden pertama Indonesia, Soekarno dan sampai sekarang setiap 21 April, Indonesia memperingati Hari Kartini bagi mengenang jasa dan perjuangan membela kaum wanita. Apa yang menarik tentang Jepara ialah pusat pembuatan perabot jati dan dari berbagai-bagai kayu bermutu lain.


Kerajinan dan kemahiran pengukir perabot tradisional itu tidak boleh dipertikaikan. Sentuhan tangan mereka menyebabkan Jepara terkenal termasuk di Malaysia. Perabot jati bukan sahaja mahal tetapi menjadi pilihan orang berada dan kalangan bangsawan. Seni mengukir memerlukan kesabaran dan penghayatan. Sentuhan tangan pengukir Jepara cukup mengagumkan kerana mereka mewarisi seni itu daripada ibu bapa dan nenek moyang. Berapakah upah yang diterima oleh seniman ukir dan buruh-buruh yang melakukan kerja awal seperti menggergaji kayu, menjahit, menebuk dan membentuk sebuah set perabot? Mereka memberitahu mendapat antara RM4 hingga RM15 sehari dan upahnya dibayar setiap minggu. Sama ada percaya atau tidak itulah hakikat kehidupan para pekerja dalam industri perabot Jepara.


Bengkel

Ramai pekerja yang sudah berusia 50 tahun ke atas termasuk wanita yang sanggup melakukan kerja di dalam bengkel yang sentiasa terdedah kepada habuk dari pagi hingga petang. Satu ketika, industri perabot jati hampir gulung tikar kerana tekanan ekonomi hingga para pekerja hilang mata pencarian. Namun industri itu kini kembali bangkit dan menawarkan pekerjaan kepada ribuan penduduk setempat.

Setiap tempat mempunyai bengkel khas untuk membuat jenis perabot tertentu. Umpamanya di Sukodono ialah desa membuat meja makan, Mantingan tempat membuat rak dan meja hias, Tahunan dikhaskan membuat katil atau ranjang, Pesajen pula menempatkan bengkel meja sudut dan set sofa.


Industri perabot di situ juga masih dijalankan secara tradisonal dan menggunakan peralatan mesin yang sudah lapuk.

Di sesetengah kampung industri hiliran dijalankan belakang rumah sebelum dikumpul dan dipasang di tempat pembuatan terakhir sebelum dihantar ke kota lain termasuk Jakarta dan keluar negara untuk pasaran. Sepanjang Jalan Tahunan di pusat kota Jepara terdapat bilik-bilik pameran dan toko-toko perabot jati. Apa yang jelas, harga perabot jati di Jepara tidaklah semurah berbanding 10 atau 15 tahun dulu kerana kekurangan kayu jati, selain pemusnahan hutan dan penebangan liar. Namun perabot jati masih menjadi kegemaran di tengah kehadiran perabot eksklusif dari Itali, China dan negara Eropah lain. Penggemar perabot jati Jepara sanggup menempah dan membayar harga yang mahal.


Seorang wanita 40an kelihatan masih teliti mengukir walaupun hari semakin petang. Dia tetap tekun walaupun sedar upah yang diperoleh tidak setimpal dengan usahanya. Seperti seekor penyu yang meneran sakit dan menangis semasa hendak bertelur di pantai Kepulauan Karimunjawa, telurnya yang berkhasiat diambil untuk dijual dengan harga yang mahal. Begitu juga nasib wanita dan pengukir kayu Jepara. Jika Ibu Kartini masih hidup, dia juga tentunya akan menangis.




1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...